SEBANYAK 30 lagi varian membimbangkan (VOC) dan satu varian mempunyai kepentingan (VOI) ditemui hasil survelan genomik dijalankan terhadap 59 sampel Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 21 kes varian Afrika Selatan B.1.351 telah dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Januari sehingga Mac lalu.
Menurutnya, susulan itu survelan genomik Covid-19 terus dijalankan dan telah melibatkan lebih banyak sampel dari kebanyakan negeri di seluruh negara.
“Terkini, melalui survelan genomik yang dijalankan ke atas 59 sampel Covid-19 dari 24 April 2021 sehingga hari ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan dan mengesahkan 30 lagi kes VOC dan satu kes VOI.
“Ini merangkumi 27 kes baharu tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351, manakala tiga kes baharu tempatan dijangkiti varian UK B.1.1.7 dan satu kes import baharu yang dijangkiti varian India B.1.617.1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda iaitu B.1.617.1, di mana kes ini melibatkan dan mempunyai sejarah perjalanan ke Mumbai, India.
“Individu ini masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April lalu dan dikesan positif Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama.
“Kes dikenal pasti dijangkiti varian India B.1.617.1 hasil analisis jujukan genom penuh (WGS).
“Kes telah diasingkan dan sedang menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April lalu berikutan penularan varian B.1.617.1 yang semakin membimbangkan.
“Bagi varian Afrika Selatan B.1.351 sehingga 2 Mei lalu, untuk pertama kalinya mula dikesan di Perak dan Kelantan melibatkan dua kluster, selain terdapat tujuh kes lain dikesan di Selangor menjadikan jumlah keseluruhan kes tempatan varian itu adalah 48 kes.
“Varian UK B. 1.1.7 pula terdapat pertambahan tiga kes baharu tempatan yang dikesan di Selangor dan Sabah, menjadikan jumlah kes dijangkiti varian UK B.1.1.7 sehingga kini adalah sebanyak lapan kes,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan sentiasa memantau perkembangan mutasi varian SARS-CoV-2 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

