KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay disaman sebanyak RM50 juta oleh seorang peguam yang mendakwa dirinya difitnah.
Peguam Kamal Hisham Ja’afar menghantar notis tuntutan saman fitnah itu melalui Tetuan kamal Hisham & Associates pada jam 10.30 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Notis tuntutan itu berkaitan sidang akhbar oleh Ayob Khan pada 22 April lalu bertajuk ‘Sidang media Ketua Polis Johor berkaitan seorang peguam dituduh lagi memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar sebagai peguam Istana Johor’.
Dalam notis berkenaan, Ayob Khan didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan yang didakwa sebagai tidak benar dan berniat jahat.
Antaranya adalah memaklumkan terdapat laporan polis pada 2011 yang mendakwa peguam itu menyamar sebagai peguam kepada Istana Johor.
Ayob Khan dituntut supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya dan meminta maaf terhadap peguam terbabit dan berjanji tidak mengulangi tuduhan berkenaan.
Beliau juga perlu membayar pampasan berjumlah RM50 juta bagi kerosakan imej dan reputasi akibat daripada kenyataan yang dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari sebelum tuntutan undang-undang dibuat terhadapnya.
Pada 22 April lalu, Ayob Khan memberitahu media, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor di Kampung Dato Onn.
Peguam berusia 51 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor susulan laporan polis dibuat pada 31 Mac 2011 berkaitan kes penipuan menyamar sebagai peguam diraja Johor dan memperdaya sebuah syarikat pengiklanan di Petaling Jaya, Selangor. – Malaysiapost

