Kerajaan perlu ambil tindakan berhubung kenyataan KPN – Putra

0
2

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta kerajaan mengambil tindakan susulan yang tegas atas dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkenaan campur tangan menteri dalam urusan pelantikan pegawai dalam pasukannya.

Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli berkata, tindakan serius perlu diambil dan dilaksanakan segera kerana melibatkan maruah dan nama baik PDRM, malah ia membabitkan ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat.

“Pada pendapat Putra, pendedahan oleh Abdul Hamid ini belum terlewat dan yang penting ada pendedahan berani dan terus terang, kerana isu ini sebenarnya sudah berbarah lama sebelum dan sejak beliau dilantik menjadi KPN.

“Pendedahannya menimbulkan pelbagai reaksi, tohmahan dan sokongan rakyat yang tidak berkepentingan kecuali ingin melihat PDRM menjadi Sang Saka Biru yg berkesan mendaulat undang-undang negara.

“Putra juga berharap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera dan mengambil tindakan tanpa memilih bulu agar kredibiliti dan integriti PDRM tidak dipandang sinis dan dianggap sebagai retorik picisan oleh rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata berlaku campur tangan politik dalam urusan PDRM yang tidak sepatutnya.

Berikutan itu, beliau yang bakal menamatkan khidmatnya pada 4 Mei ini mengakui hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kurang baik atau “bad blood”.

Selain itu, Hamid menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Menurut beliau, menteri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan polis dan amalan itu harus dielakkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here