Kadir: Bersatu kini dikuasai ‘Umno’

0
3
SERDANG, 4 Okt -- Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin berucap pada Forum Media Kebangsaan 2018 'Merealisasikan Kebebasan Media Era Pakatan Harapan' di Universiti Tenaga Nasional Malaysia (UNITEN) hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Aiman Hanif

BARISAN ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang baharu “lebih Umno” berbanding barisan kepimpinan parti itu sebelum ini, kata Datuk Kadir Jasin.

Bekas ahli MPT Bersatu itu berkata, kumpulan berkenaan yang digelar sebagai “muhajirin” telah berjaya menumbangkan pemimpin asal Bersatu.

“Ahli MPT baharu dari kumpulan yang menyertai Bersatu selepas PRU 2018, termasuk wakil rakyat, adalah seramai 12 orang. Mereka ini dirujuk sebagai ‘muhajirin’ walaupun pada pendapat saya label itu tidak tepat sama sekali.

“Mereka ini melompat masuk Bersatu setelah Umno kalah dalam PRU 2018.

“Kesimpulannya, MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2021 ini lebih ‘umno’ daripada MPT asal atau MPT penaja,” tulis Kadir dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini jawatankuasa pemilihan Bersatu mengesahkan yang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tanpa bertanding.

Tiga jawatan Naib Presiden pula dimenangi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr Ronald Kiandee, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Exco kerajaan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Syed Hamid Albar yang mengumumkan keputusan itu berkata 177 bahagian telah berjaya mengadakan persidangan parti itu.

Kadir berkata keputusan pemilihan Majlis MPT itu menyaksikan ramai calon daripada kalangan pejuang asal tewas dan digantikan oleh bekas ahli Umno yang melompat parti.

“Daripada 25 orang ahli MPT baharu, 13 terdiri daripada pejuang asal dan 12 daripada kumpulan yang melompat. Di kalangan ahli MPT asal hanya enam berjaya mempertahankan kedudukan, termasuk Muhyiddin sendiri.

“Di masa yang sama, Bersatu berhenti daripada menjadi parti Pribumi/Bumiputera dan bertukar menjadi parti pelbagai bangsa macam PKR, DAP, PAS dan Gerakan,” tulis Kadir lagi. – Malaysiapost