Dr Zambry Abd Kadir
[Sudut Pandang] KITA selalu mendengar kata hikmah dari pemimpin dan pemikir: perjuangan menuntut kemerdekaan memang sukar, tetapi perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan lebih sukar.
Dalam konteks mengurus kejayaan kita juga sering mendengar: usaha untuk mencapai kejayaan memang mencabar, tetapi usaha untuk mengurus kejayaan lebih mencabar.
Dalam konteks mengurus perdamaianpun demikian juga hakikatnya. Bukan mudah untuk membawa kedua-dua pihak yang bertelagah untuk berdamai. Tetapi bukan juga mudah untuk mengekalkan keharmonian dan perdamaian yang dicapai itu.
Tersilap langkah luka lama berdarah kembali.
Apatah lagi bila semangat kabilah masih terlalu kuat dipegang.
Umpamanya apabila terdengar masih ada suara: my country, right or wrong. My people, right or wrong; my party, right or wrong”, maka terburailah jahitan perdamaian. Dan maraklah api pergaduhan.
Ego kelompok juga menjadi faktor. Setiap kelompok merasakan mereka mempunyai prinsip dan maruah yang tidak boleh dikorbankan sama sekali.
Ada pula helah politik yang dimainkan supaya ada gerakan intimidasi dibuat bagi melemahkan antara satu sama lain.
Ada pula langkah pihak ketiga yang tidak berpuas hati melihat perdamaian dua kumpulan itu, lalu dihantar seseorang ke dalam kumpulan yang berdamai itu untuk memecahkan mereka.
Ketika saya memikirkan hal ini, peringatan al-Qur’an tentang kisah perdamaian yang cuba diputus dan dihancurkan menjadi panduan terbaik.
Amat menarik sekali, khususnya bagi mereka yang menjadikan al-Qur’an sebagai panduan dan dustur yang tertinggi.
Ayat al-Qur’an dalam surah Ali Imran, ayat 103, mengisahkan bagaimana perdamaian Aus dan Khazraj hampir terburai disebabkan oleh sifat amarah dan tindakan pihak ketiga.
Kisah Aus dan Khazraj juga adalah kisah besar yang menjadi panduan dalam pembinaan kesatuan dan perpaduan.
Dalam ilmu critical theory, kisah Aus dan Khazraj ini membentuk meta-naratif yang menjadi asas kepada pengertian sejarah, pengalaman dan pengetahuan bagi sesebuah negara dan masyarakatnya. Ia menjadi keabsahan (legitimacy) yang diikuti.
Permusuhan besar yang membawa kepada berbunuhan antara dua kabilah ini memakan masa ratusan tahun. Akhirnya dapat disatukan oleh baginda Rasulullah s.a.w sebaik sahaja berlaku peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah.
Akhirnya dengan pendekatan bijaksana Rasulullah, kedua-dua kabilah menjadi kabilah yang berkasih sayang dan hidup bantu membantu sehinggakan kekuatan negara Madinah digeruni musuh.
Namun selepas suasana kehidupan yang harmoni itu, rupanya timbul isu dan konflik yang membahang sehingga hampir mencetuskan semula perbalahan dan perpecahan.
Maka turunlah ayat al-Qur’an surah Ali Imran, 103 berbunyi:
“ Dan berpegang teguhlah kamu sekelian dengan tali Allah, dan janganlah kamu sekelian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan, maka (Dia) menjinakkan antara hati-hati kamu, maka kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu berada ditepi jurang api neraka, maka Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya agar kamu mendapat petunjuk”.
Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, asbabul nuzul kepada ayat ini adalah berkaitan dengan kisah dua kumpulan Aus dan Khazraj yang pada satu hari, dalam keadaan bersantai, mengenangkan kisah permusuhan mereka di masa lalu.
Tiba-tiba timbul semula rasa perseteruan dan kebencian mereka. Lalu mulai menghunus senjata masing-masing dan bersiap sedia untuk berperang semula.
Dalam riwayat lain yang bersumberkan Zaid bin Aslam, ada seorang Yahudi bernama Syas bin Qais yang sedang berjalan di hadapan kumpulan Aus dan Khazraj dan melihat mereka dalam suasana riang gembira.
Syas berasa iri hati dengan keintiman dua puak yang pernah bertelagah itu, lalu dihantar seorang anak buahnya untuk berada dalam kumpulan itu.
Anak buah Syas ini bertindak menjadi pengacum menanam kebencian semula dan memecahkan mereka. Justeru mulailah timbul rasa permusuhan semula.
Hal ini sampai kepada Rasulullah, maka baginda mendamaikan semula kedua-dua kabilah ini.
Ibrah dari peristiwa ini amat menarik dihalusi melihat suasana politik yang sedang berada di hadapan kita.
Selepas kekalahan PRU 14, timbul kesedaran mulia untuk menyatukan ummat. Alhamdulillah ia berjaya menyatukan UMNO dan PAS atas pelantar Muafakat Nasional.
Terjemahan dari itu, 5 PRK dimenangi sehingga menggugat ketahanan PH. Dan membawa kepada runtuhnya kerajaan PH.
Tidak siapa menjangkakan bahawa dalam tempoh 22 bulan UMNO dan PAS dapat membentuk kuasa bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun mutakhir ini mulai kedengaran pelbagai suara. Antaranya ialah apakah MN ini dapat dipertahankan?
Adakalanya kita akan diuji dalam dua keadaan. Pertama dalam keadaan tidak berkuasa. Kedua dalam keadaan berkuasa.
Cabaran apabila sudah berkuasa sebenarnya lebih mencabar.
Lantaran itulah ahli fikir seringkali mengingatkan ada dua cabaran utama: kuasa dan harta.
Kadang-kala kita dapat melihat perubahan seseorang apabila sudah mendapat kuasa dan memperoleh harta.
Prinsip dan pegangan hiduppun akan sanggup digadaikan. Apatah lagi dalam perjuangan untuk memartabatkan suatu matlamat.
Maka akan berantakanlah, kononnya perdamaian yang dibuat sebelum mendapat kuasa tidak lagi relevan dalam konteks hari ini.
Masing-masing kumpulan akan menanam rasa sangsi dan curiga mencurigai antara satu sama lain.
Maka semangat kabilah permusuhan yang wujud sebelum ini kembali memutik.
Ayat 103, Surah Ali Imran itu mengingatkan semula buat mereka yang telah mengikat tali jamaah dan perjanjian perdamaian.
Siapapun kita, jangan lupa untuk berani bermuhasabah secara berjamaah. Mengakui kesilapan dan kelemahan. Mengakui bahawa kuasa ada ketikanya boleh membawa kepada terlerainya perdamaian.
Namun tidak bermakna kuasa untuk memerintah tidak mustahak.
Tetapi jangan dibiarkan musuh bersorak sekali lagi melihat perpecahan ummat.
Bersatulah dan janganlah berpecah-belah.
Penulis ialah Adun Pangkor dan bekas Menteri Besar Perak– Malaysiapost

