PENINGKATAN kes Covid-19 di negara semakin membimbangkan apabila lebih daripada 20 kes dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setiap hari di Hospital Sungai Buloh, dalam tempoh seminggu ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh seminggu ini terdapat 63 pesakit yang dirawat di ICU.
Katanya, lebih 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan.
“Seramai 63 pesakit ICU, dengan lebih 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan, dan lebih 20 kes dirujuk ke ICU setiap hari dalam tempoh satu minggu ini di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Terdahulu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan dilaporkan berkata, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang merawat Covid-19 di seluruh negara sudah mencapai lebih 88 peratus.
Beliau berkata, situasi itu berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus, berbanding tempoh dua minggu yang lalu.
Katanya, beberapa hospital iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah juga sudah melebihi 70 peratus penggunaan.
“Penggunaan katil di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula sudah melebihi 50 peratus.
“Terdapat tujuh hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19, termasuk Hospital Universiti di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Sebanyak 277 katil kritikal ICU diperuntukkan bagi pesakit dan bukan pesakit Covid-19 untuk negeri sekitar Lembah Klang dan daripada jumlah itu, 152 katil kritikal ICU dikhususkan untuk merawat pesakit CovidD-19.
“Kadar penggunaan terkini sudah mencapai lebih 88 peratus dan setakat hari ini, sebanyak 108 unit alat ventilator diperlukan untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang saja,” kata beliau. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

