Peningkatan kes, penggunaan kapasiti kesihatan di Lembah Klang membimbangkan

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang, amat membimbangkan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika trend peningkatan kes wabak itu berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam keseluruhannya.

Justeru, katanya, menurut statistik kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

“Ini berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini, sebanyak 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.

Katanya, terdapat tujuh hospital dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, sebanyak 277 katil kritikal (ICU) diperuntukan bagi pesakit Covid-19 dan bukan Covid untuk negeri Lembah Klang dan daripada jumlah itu, sebanyak 152 katil kritikal dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.

“KKM memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini (1 Mei), kadar insiden kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk ialah sebanyak 872.

“Tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden kes tertinggi ialah Kuala Lumpur (1,583), diikuti Selangor (1,486) dan Putrajaya (1,140).

“Nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) terkini Malaysia ialah 1.14, manakala nilai Rt Selangor (1.20), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0). Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here