Aktiviti berbuka puasa, moreh cetus kluster baharu di Sabah

0
2

AKTIVITI berbuka puasa dan moreh mencetuskan dua kluster baharu kes Covid-19 melibatkan daerah Lahad Datu dan Kalabakan di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu membabitkan tempat kerja di sebuah kilang dipercayai berpunca daripada penggunaan tempat tertutup dan sempit ketika pekerja berbuka puasa.

“Kluster itu juga yang kedua direkodkan di tempat sama selepas kali pertama pada Disember tahun lalu dengan nama Kluster Jalan Kilang.

“Kluster Umas di Mukim Brumas, Kalabakan pula dikaitkan dengan aktiviti berbuka puasa dan pengagihan moreh membabitkan kes indeks bersama ahli jawatankuasa sebuah masjid.

“Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu adalah kluster jenis tempat kerja dan nama kluster sempena nama jalan di Kilang Gamalux Oil. Ini kluster kedua berlaku di tempat sama selepas Kluster Jalan Kilang yang didaftarkan pada Disember tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 11 kes positif Covid-19 direkodkan dengan kes indeks ialah seorang pekerja lelaki warga tempatan berusia 37 tahun disahkan positif melalui saringan bergejala pada 23 April lalu.

“Kluster Umas di Kalabakan pula merekodkan 34 kes positif setakat ini membabitkan kes indeks seorang Pengurus Lesen Pekerjaan Felda Utara Kalabakan yang dikesan positif hasil saringan bergejala pada 22 April lalu.

“Turut disahkan positif sembilan ahli keluarga kes indeks dan lapan jemaah di sebuah masjid selepas menjalani saringan kontak rapat.

“Hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan aktiviti di masjid seperti berbuka puasa dan pengagihan moreh bersama ahli jawatankuasa masjid,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here