Audio Hamzah: Tindakan KPN tidak wajar – DUPP

0
1

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyifatkan tindakan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak wajar.

Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana pendedahan itu akan mengundang sangkaan berunsurkan fitnah dan dakyah terhadap politik semasa apabila timbulnya persepsi jahat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Justeru, DUPP mengkritik ucapan KPN Tuan Hamid Bador, sekarang ini ekoran kenyataan terbuka beliau dalam satu sidang berkenaan, maklumat yang beliau perolehi dengan mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang membabitkan rasuah kalangan ahli politik tertentu secara terbuka di hadapan para wartawan.

“Adakah beliau telah lupa terhadap Akta Polis Seksyen 4 (1), di mana dia sebagai KPN bertanggungjawab kepada Menteri Dalam Negeri (KDN). Sikap beliau hanya membawa cerminan buruk dengan semata-mata dakwaan,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan dakwaan yang dilontarkan Abdul Hamid itu, jika benar mengapa tiada tindakan diambil susulan semasa dirinya masih menjawat Ketua Polis Negara dengan membuat laporan agar penyiasatan dilakukan dan dibawa ke muka pengadilan untuk diadili bagi menerima hukuman menerusi lunas perundangan yang ada dalam negara ini.

“Sebagai sebuah negara yang ada undang-undang dan sistem, kita ada saluran dan peruntukan bagi setiap sesuatu dakwaan.

“Ini bukan negara “cowboy” dan jangan pula bersikap dengan mainan persepsi iaitu menjatuhkan hukuman sebelum diadili dan diputuskan hukuman oleh pihak mahkamah.

“Jangan pula disebabkan lantikan beliau sebelum ini oleh kerajaan PH, beliau hilang pertimbangan dalam bersikap adil dengan terikut rentak politik PH sehingga menggunakan kedudukan beliau sekarang ini untuk meracuni pemikiran rakyat dengan mainan persepsi semata-mata sebagaimana yang diamalkan oleh politik PH,” ujarnya.

Beliau berkata, DUPP sangat bertegas dalam soal yang membabitkan integriti kerana tanpanya ia akan mengakibatkan negara menuju kemusnahan.

“Namun, dalam soal pendakwaan, hendaklah setiap pendakwaan mengikuti saluran menurut lunas perundangan agar siasatan dapat dijalankan dan seterusnya diadili di mahkamah untuk dijatuhi keputusan dan hukuman.

“Bukannya dengan bermain persepsi dan menjadikan negara ini seperti negara ‘cowboy’,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here