Serangan saat akhir KPN terhadap Hamzah timbul tanda tanya

0
2

TINDAKAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyerang secara terbuka Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiga hari sebelum beliau bersara adalah sangat pelik dan menjadi tanda tanya.

Ketua Bersatu Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali, berkata serangan Abdul Hamid yang menuduh Hamzah gemar campur tangan dalam urusan polis adalah tidak wajar dan mempersoalkan mengapa beliau menunggu saat akhir untuk mendedahkan perkara itu.

“Jika benar campur tangan itu kononnya telah berlaku sejak hari pertama Hamzah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, kenapa Hamid selama ini hanya berdiam diri?

“Mengapa hanya setelah nama penggantinya diumumkan, baru beliau mahu bersuara?

“Adakah jika khidmat Hamid disambung lagi sebagai Ketua Polis Negara, beliau tetap akan bersuara dengan nada yang sama atau tiba-tiba memuji Hamzah?,” soal Norizan dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Norizan, Abdul Hamid sepatutnya memahami bidang tugas Hamzah selaku Menteri Dalam Negeri yang dalam waktu yang sama adalah juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Kedua-dua mereka mempunyai tugas dan peranan masing-masing dalam pasukan polis dan dalam sistem kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Adalah tidak wajar Abdul Hamid menyerang Hamzah tanpa mengambil kira peranan dan kedudukannya yang sama-sama penting ibarat aur dengan tebing dengan Ketua Polis Negeri dalam pasukan polis,” katanya.

Semalam, Hamzah mengakui bahawa audio yang tular mirip suaranya itu adalah tulen.

Jelasnya, perbualan tersebut berlangsung pada tahun lalu ketika beliau meminta Ketua Polis Negara memberikan beberapa nama penganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, beliau tidak perlu menafikan perkara itu kerana beliau tidak melakukan kesalahan, namun yang bersalah adalah pihak yang merekod perbualan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here