PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Raub termasuk dua mukim dikenakan PKP bermula esok hingga 13 Mei ini.
Manakala masing-masing satu lokaliti di Pahang dan Sarawak dilaksanakan PKPD.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di beberapa kawasan di daerah Raub, Pahang.
Katanya, KKM melaporkan terdapat peningkatan kes aktif dalam tempoh sembilan hari, apabila telah merekodkan sebanyak 83 kes positif Covid-19.
“Selain itu, KKM turut mengesahkan Kluster Raub Jaya ini telah merebak disebabkan aktiviti sosial dan turut dikesan di sekolah serta dalam kalangan pelajar.
“Taburan kes Covid-19 ini melibatkan Mukim Gali iaitu Bandar Raub, Sungai Ruan dan Kampung Baru Sempalit manakala Mukim Tras pula adalah, Kampung Sang Lee, Kampung Baru Tras, dan Kampung Sungai Cheetang.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di seluruh daerah Raub dan PKP di Mukim Gali dan Tras bermula 30 April hingga 13 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan pelaksanaan PKPD di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang bermula esok hingga 13 Mei ini.
Menurutnya, sehingga kini, KKM telah merekodkan 11 kes positif Covid-19 daripada 117 orang yang disaring.
“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan kes di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang berkuat kuasa 30 April sehingga 13 Mei 2021,” katanya.
Tambahnya, PKPD turut dikenakan di SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak bermula esok hingga 13 Mei.
Katanya, KKM hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di sekolah itu.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 594 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 17 kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak bermula 30 April sehingga 13 Mei 2021,” katanya. – Malaysiapost.

