SARAWAK tidak akan menggunakan vaksin Covid-19 AstraZeneca, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Bagaimanapun, Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, individu yang mahu menggunakan vaksin AstraZeneca boleh mendapatkannya di Pusat Vaksinasi lain.
“Bagi yang mahu disuntik vaksin AstraZeneca mereka boleh mendapatkannya di pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Bukan di Sarawak,” tulisnya di Facebook.
Dr Sim mengulas kenyataan Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa beliau telah membuat tawaran kepada kerajaan Sarawak untuk mempertimbangkan penggunaan vaksin AstraZeneca.
Pada Rabu, Khairy memaklumkan kerajaan akan memulakan proses pemberian suntikan vaksin jenis AstraZeneca kepada mereka yang mendaftar secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.
PPV Khas tersebut akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur dan sebanyak 268,800 dos suntikan akan diperuntukkan.
Langkah suntikan di PPV khas itu dibuat bagi menangani ketakutan dan kegusaran rakyat terhadap vaksin itu, selain tidak mahu mengganggu program imunisasi yang sedang berlangsung. -Malaysiapost

