KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengurangkan beberapa perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity ekoran perkembangan terkini penularan wabak CoVid-19.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zain Mat Taha berkata menerusi kenyataan memaklumkan pengurangan perkhidmatan itu akan bermula pada hari ini sehingga 17 Mei 2021.
“Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan lapan perkhidmatan setiap hari berbanding 12, dengan dua perkhidmatan di setiap laluan iaitu Gemas – Padang Besar, KL Sentral – Ipoh dan KL Sentral – Butterworth.
“Perkhidmatan KL Sentral – Butterworth dan sebaliknya adalah perkhidmatan dengan koc kelas perniagaan.
“Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas – Johor Bahru Sentral akan
beroperasi pada setiap hari, berbanding enam pada sebelum ini. Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis – Tumpat masih diteruskan dengan 10 perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, Ekspres Rakyat Timuran masih beroperasi dengan dua perkhidmatan pada setiap Khamis sehingga Ahad.
Secara keseluruhan, perkhidmatan KTM Intercity akan beroperasi dengan 16 servis mulai hari ini, berbanding 18 sebelum ini.
“Kepada penumpang yang diberi kebenaran untuk merentas negeri, mereka boleh mendapatkan diskaun RM10 dengan hanya menggunakan kod promo CUTIKERETAPI sehingga Jun 2021 melalui pembelian secara dalam talian.
“Selain itu, penumpang yang membuat perjalanan antara hari Selasa hingga Khamis di dalam bulan Ramadan ini, mereka juga bakal ditawarkan 25 peratus diskaun perjalanan dengan menggunakan kod promo KTMRAMADHAN.
“Pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan ketika menaiki perkhidmatan tren,” katanya.
Beliau juga menggesa orang ramai mendapatkan jadual waktu terkini serta maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang atau layari saluran rasmi media baharu KTMB. – Malaysiapost
Foto Kredit: Laman Web KTMB

