FB UUM diserang, netizen mahu profesor diambil tindakan

0
3
KUALA LUMPUR 12 AUGUST 2016. Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff. NSTP/Ihsan PEMBACA

SATU hantaran Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk merai Nuzul al-quran, berlaku sebaliknya apabila dihentam netizen yang tidak berpuas hati dengan pensyarah institusi itu yang didakwa membuat kenyataan fitnah berulang kali.

Orang ramai meluahkan kemarahan menerusi komen di hantaran berkenaan serta mempersoalkan tindakan universiti itu untuk mengekalkan pensyarah akademik kontroversi terbabit.

Pensyarah Kanan UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff menjadi bahan kritikan sejak beberapa tahun ini susulan beberapa kenyataan beliau yang berunsur sensitif serta kontroversi.

Terbaharu berhubung isu motosikal yang disumbangkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim kepada seorang pemuda Melayu yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Rata-rata mereka yang memberi komen meminta pihak UUM segera mengambil tindakan terhadap Dr Kamarul.

Antara yang meninggalkan komen ialah tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin yang menyatakan Dr Kamarul tidak menunjukkan ciri ilmuwan yang berdedikasi dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan provokasi.

“Jelas daripada komen-komen terdahulu bahawa niat baik UUM memperingatkan kita semua berkenaan peristiwa yang sangat penting dalam kesejahteraan alam ini telah dijadikan medan melepaskan kemarahan.

“Semuanya kerana tindak-tanduk seorang anggota akademik UUM yang tidak langsung menepati ekspektasi umum mengenai seorang cendekiawan.

“Kita menggalakkan cendekiawan menulis dan berartikulasi berpaksikan kecemerlangan ilmu dan kedalaman pengetahuan, bukan mencari publisiti murah dengan kenyataan-kenyataan dangkal, partisan dan menghina sehingga dikenakan tindakan undang-undang berulang kali,” katanya.

Beliau turut berharap Dr Kamarul dikeluarkan daripada UUM kerana menyifatkan pensyarah itu suka mencari publisiti murahan dan boleh mencemar nama baik institusi itu.

“Saya tidak akan memuliakan orang yang menjadi bahan kebencian terhadap UUM dengan menyebut namanya. Pihak Universiti tahu siapa dia.

“Sebagai penyokong UUM sejak ia mula dibina dalam hutan Sintok pada awal tahun 1980-an sehingga dilantik menjadi Adjunct Professor di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business beberapa tahun lalu, saya amat berharap episod seekor kerbau membawa lumpur habis sekandang terpalit ini dinyahkan sekali dan untuk selamanya,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Fazley Noordin yang juga bekas pelajar UUM turut meluahkan kekesalan terhadap Dr Kamarul yang disifatkan keterlaluan dalam memberi kenyataan.

“Saya selaku bekas alumni dan pelajar UUM harap pihak universiti mengambil tindakan tegas ke atas pensyarah bernama Kamarul Yusoff yang semakin keterlaluan memberi komentar berunsur hasutan dan berniat jahat.

“Ini sekali gus memburukkan nama, imej dan reputasi UUM sendiri. Harap tindakan tegas mesti diambil untuk menjaga kredibiliti dan profesionalisme pengajian tinggi yang neutral dan mendukung ilmu serta kebenaran bukannya fitnah dan peradu dombaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here