Polis Kelantan sudah bincang isu kompaun RM50,000 dengan KKM

0
2

POLIS Kelantan telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri berhubung kompaun RM50,000 terhadap tiga peniaga yang beroperasi lebih masa, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata menerusi perbincangan itu, Jabatan Kesihatan memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbang kadar kompaun terhadap tiga peniaga tersebut sebagaimana dalam garis panduan.

Beliau turut meminta, bagi kes lain yang dikenakan kompaun melibatkan individu dan premis sebelum ini supaya membuat rayuan untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis panduan ditetapkan.

“Dalam perbincangan semalam, polis akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan peraturan di bawahnya.

“KKM pula mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun sebagaimana garis panduan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Shafien mengingatkan masyarakat di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menghentikan penularan Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan, tiga peniaga di Kota Bharu dikompaun RM50,000 pada Ahad lalu kerana berniaga lebih masa ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Mereka terdiri peniaga burger, colek dan kedai runcit. – Malaysiapost

Foto Kredit: NSTP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here