‘Cukuplah, tak mahu raya di penjara lagi’

0
3

Najamuddin Mohd Nor

PENGALAMAN beraya di penjara tahun lalu memang sangat memilukan hati saya, kata Alang (bukan nama sebenar), 39.

Ibu kepada empat cahaya mata itu terpaksa menyambut Syawal di sebalik tirai besi atas kesalahan menagih dadah jenis syabu.

“Memang tak sama berpuasa, terawih dan berhari raya dalam penjara. Perasaan saya bagai dihiris-hiris pilu bila terdengar laungan takbir di penjara.

“Mula terbayang satu-satu wajah anak dan ibu di kampung. Sedih sangat. Tak dapat nak bersalam raya, apatah lagi nak peluk cium mereka,” katanya kepada Malaysiapost ketika ditemui di Ghulam Recovery Care Centre di Sepang.

Menurut Alang yang berasal dari Kampar, Perak, pengalaman menyambut Aidilfitri dipenjara memang menginsafkan dirinya.

“Tiada sambutan raya pun di penjara. Kalau ada pun bersalam-salaman dengan rakan senasib selepas solat sunat Aidilfitri, lepas tu masuk ke sel masing-masing.

“Tiada juadah istimewa, tiada lemang, ketupat, rendang dan kuih raya pun. Duduk di sel dan melayan perasaan hiba seorang diri sahaja,” kata ibu tunggal itu.

Meskipun mendapat ‘title’ bekas banduan, Alang melahirkan rasa syukur dengan takdir menimpa dirinya itu kerana ia memberi pengajaran untuk berubah menjadi insan yang baik.

“Saya bersyukur sangat-sangat, walaupun pahit tapi ada hikmah di sebaliknya. Selama hampir 20 tahun saya bergelumang dengan najis dadah, sejak umur 19 tahun lagi, akhirnya membawa saya ke penjara.

“Itulah kali pertama saya ditangkap dan duduk dalam penjara. Saya insaf dan bertaubat. Kalau tak saya terus hanyut dengan dadah,” katanya yang mengakui hanya mencuba dan suka-suka sebelum ketagih syabu.

Mengulas lanjut, Alang mengakui dia pandai menyimpan rahsia ketagihan syabu daripada dihidu ahli keluarga.

“Semua orang tak tahu, bekas suami, anak-anak berumur 7 sehingglah yang sulung 18 tahun, termasuk ibu saya. Semua tak tahu saya penagih syabu tegar masa itu.

“Bila kena tangkap dan dipenjara, saya malu sangat pada anak-anak, saya memalukan mereka, rasa bersalah sangat pada ibu. Memang tak tertanggung perasaan macam tu, rasa dah mengecewakan mereka semua,” katanya sambil berlinangan air mata.

Menurut Alang, dia ditahan oleh pihak berkuasa di bilik yang disewanya di Pekan Kampar pada Mac tahun lalu.

“Nasib saya baik, aib saya ditutup Allah kerana tidak ditahan depan anak-anak dan keluarga. Anak-anak saya tinggal dengan bekas suami.

“Malah anak-anak tak tahu pun saya dipenjara, kerana tak lama saya ditahan PKP pun bermula. Mereka ingat saya hilangkan diri dan melupakan mereka,” katanya.

Selepas dibebaskan pada Ogos tahun lalu, Alang mengambil keputusan menyertai program i-Kembali yang menyediakan platform membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Nasib saya baik tidak dihukum penjara lama, tapi dapat jugalah rasa puasa dan raya di sana. Lepas bebas saya terus sertai i-Kembali. Saya tekad nak berubah terus.

“Alhamdulillah i-Kembali banyak membantu bimbing saya, beri keyakinan diri bahawa saya boleh berubah jadi manusia berguna. Saya tak nak kehidupan yang dulu.

“Kini saya pun dah dapat kerja, saya bekerja di pusat ini. Alhamdulillah saya dapat pulang ke Kampar menjenguk anak-anak dan ibu bulan lepas dan barulah mereka tahu kisah sebenar ke mana saya hilang selama ini,” katanya dalam tangis teresak-esak.

Kini, Alang bertekad untuk terus berjaya dengan hidup barunya dan membuktikan kepada keluarga bahawa perubahan itu bukan hangat-hangat tahi ayam.

“Ibu saya masih sangsi dengan perubahan saya, tak apalah… saya tekad nak berubah selama-lamanya. Pasti ibu gembira nanti.

“Syukur anak-anak boleh terima saya. Mereka faham. Malah mereka gembira dan mendoakan perubahan ibu mereka ini. Mereka nak tengok saya berjaya.

“Kepada anak-anak, ibu minta maaf atas apa yang terjadi. Ibu janji ibu dah berubah dan akan berusaha sungguh-sungguh cari duit dan kita akan dapat hidup di bawah satu bumbung semula suatu hari nanti.

“Tahun ini ibu raya di Sepang tak dapat raya bersama dengan kamu semua di Kampar kerana tak boleh rentas negeri. Selamat Hari Raya dan maafkan ibu ya nak,” katanya sedih. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here