Kerajaan komited laksana Undi 18

0
3

KERAJAAN amat komited untuk melaksanakan umur Kelayaan Pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada  peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ia seperti dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

Katanya, hal itu telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April 2021 dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Susulan keputusan tersebut, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera menyelesaikan beberapa perkara lagi  berkaitan peruntukan undang-undang tertentu berkaitan dan  perkara teknikal, termasuk mengemaskini sistem perisian yang diperlukan.

“Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri.

“Kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard, selaras norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here