Zeti letak jawatan Pengerusi PNB Jumaat ini?

0
2

BEKAS Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memaklumkan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional
Berhad (PNB) pada 30 April ini, ketika mesyuarat agung tahunannya dijadualkan berlangsung.

Zeti berkata, pada tarikh itu beliau akan menyelesaikan penggal tiga tahunnya dan telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal tahun ini

Katanya, kandungan surat tersebut memaklumkan beliau tidak merancang mahu memperbaharui tempoh perkhidmatannya.

Difahamkan, Zeti menyampaikan perkara itu melalui e-mel dalaman kepada kakitangan PNB minggu ini, lapor MalaysiaKini.

Zeti, yang juga anggota Majlis Penasihat Kerajaan era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dilantik ke jawatan tersebut mulai 30 Jun 2018.

Sementara itu dalam e-melnya, Zeti berkata, beliau mahu PNB mencapai tiga matlamat selama tempoh perkhidmatannya iaitu untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan PNB ke pasaran antarabangsa, memperkuat kemampuannya untuk mengendalikan risiko dan kecairan serta untuk ‘mengubah’ PNB itu sendiri sebagai sebuah organisasi.

“Saya dengan senang hati memberitahu, di sebalik persekitaran yang sangat mencabar dan ekstrem yang dialami dalam tempoh ini, kemajuan ke depan telah dibuat dalam ketiga aspek ini,” katanya.

Antara lain, beliau mengatakan portfolio PNB kini lebih pelbagai dan bahkan berjaya menghasilkan “hasil yang signifikan” walaupun pasaran ekuiti menurun.

Pun begitu, katanya, agenda transformasi tetap menjadi urusan yang belum selesai dan proses kepelbagaian perlu diteruskan.

Beliau juga mengatakan PNB perlu prihatin terhadap kesan pelaburannya dan mengambil kira faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Walaupun pelaburan kita perlu memastikan pulangan dihasilkan, kita juga harus yakin bahawa pulangannya mampan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here