Satu lagi institusi pendidikan di Kelantan dikenakan PKPD

0
2

KERAJAAN hari ini mengumumkan sebuah lagi institusi pendidikan di daerah Machang, Kelantan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 29 April sehingga 12 Mei 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 87 kes positif hasil daripada 207 keseluruhan ujian saringan ke atas pelajar dan penghuni Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) tersebut.

“KKM juga memaklumkan kes telah menular dalam kalangan warga MTAZ dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi berdasarkan trend pertambahan kes baru.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes awal serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan penghuni maahad tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan berkuat kuasa tempoh sama.

Menurutnya, KKM telah melakukan 170 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 38 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Pada masa sama, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti kes tinggi iaitu 22.9 peratus.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke komuniti,” katanya.

Sementara itu, KKM hari ini melaporkan situasi terkini kes Covid-19 di dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan Sungai Klau, Raub, Pahang.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini, KKM telah merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau. Manakala terdapat tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan.

“PKPD di penempatan ini akan berkuat kuasa dari 29 April sehingga 12 Mei 2021. Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk menyekat penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain,” kata beliau.

Penempatan yang terlibat adalah:
• Kampung Baru Sungai Chalit
• Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit
• Taman Sungai Klau,
• Taman Maju Sungai Klau
• Taman Kelau Jaya
• Taman Harmoni
• Kampung Sungai Klau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here