[Covid-19] BERDASARKAN situasi semasa, terdapat beberapa negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika rakyat leka dan memandang remeh situasi di negara ini.
“Kawalan sempadan perlu terus dipertingkat dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara.
“Ia berikutan daripada 3 April sehingga 23 Ogos 2020, seramai 104,188 rakyat dan pemastautin tetap telah disaring, iaitu 103,289 dikuarantinkan sama ada di rumah atau pusat kuarantin.
“Daripada jumlah itu, kes positif Covid-19 dikesan adalah 899 kes dan mereka telah diasing dan dirawat di hospital,” kata KKM menerusi kenyataan.
Seterusnya KKM mengingatkan semua petugas barisan hadapan untuk terus patuh kepada rangka kerja, panduan amalan dan tatacara pengurusan kes di lapangan.
“Sekiranya menghadapi sebarang cabaran, kerumitan, mahupun halangan dalam menjalankan tugas, pihak atasan perlu dimaklumkan segera agar ia dapat dirungkai dan diselesaikan.
“Ini penting untuk memastikan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, dan petugas barisan hadapan terlindung daripada jangkitan penyakit serta sebarang cabaran dalam melaksanakan tugasan di lapangan.
“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) amat penting digunakan bagi memutuskan penularan Covid-19. Ketidakpatuhan terhadap Akta ini akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan dan penularan penyakit,” katanya.
Katanya lagi, KKM turut mengingatkan semua petugas untuk patuh kepada panduan amalan dalam pelaksanaan tugasan dan orang ramai untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang dikeluarkan.
“Masyarakat memainkan peranan yang amat penting dengan mematuhi sepenuhnya Akta ini dan segala SOP yang ditetapkan, tidak kira siapa dan di mana sekali pun. Hanya dengan kepatuhan 100 peratus terhadap Akta ini, kita dapat bersatu dalam peperangan terhadap musuh kita yang sama ini, iaitu Covid-19,” ujarnya. – Malaysia Post

