Buruh ladang dipenjara 22 tahun dera dua anak kandung

0
2

SEORANG buruh ladang dihukum penjara 22 tahun di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera dua anak kandungnya dalam kejadian di Ulu Balung, 13 Mac lalu.

Tertuduh, Nasir Basir, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur tiga dan lima tahun telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan kesan gangguan emosi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di No.F4 Perumahan Pekerja Ladang Giram – Divisyen Ulu Balung, Jalan Tawau-Kunak, kira-kira jam 3 petang 13 Mac lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Pathmanathan.

Terdahulu, Pathmanathan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman berat dan setimpal bukan hanya sebagai hukuman kepada tertuduh, tetapi juga pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah sedemikian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dalam kes berkenaan adalah anak kandung tertuduh sendiri dan mangsa akan membesar dengan mengalami trauma berkekalan sepanjang hayat mereka selain penderaan yang dialami oleh mereka juga adalah sangat teruk.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana mendakwa dirinya dalam keadaan tertekan sehingga bertindak mendera anaknya dengan tujuan supaya isteri kembali semula kepangkuannya.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman 11 tahun penjara bagi setiap pertuduhan berkuatkuasa dari tarikh sabitan serta berjalan secara berasingan.

Media sebelum ini, melaporkan tertuduh ditahan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Andung, Jalan Kabogan, Semporna kira-kira jam 7 pagi pada 15 April lalu.

Ia susulan dua klip video perbuatan suspek yang bertindak mendera dua anaknya tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Dalam dua klip masing-masing berdurasi 26 saat dan 16 saat, suspek berkali-kali dilihat memijak kaki, perut, leher dan kepala mangsa, selain mengacukan pisau sambil mengugut mahu membunuh kanak-kanak berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here