Persekolahan diteruskan, KPM yakin SOP di sekolah kawal Covid-19

0
3

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memutuskan untuk meneruskan sesi persekolahan kerana yakin prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dapat mengawal penularan Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, data yang diperoleh jelas menunjukkan bahawa sekolah adalah selamat dan bukan tempat pencetus kluster Covid-19 seperti yang dikatakan pelbagai pihak.

Katanya, data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan daripada 99 kluster pendidikan, 52 daripadanya adalah membabitkan sekolah di bawah KPM dengan 2,274 kes.

“Ia adalah 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster atau 2.07 peratus daripada kes kluster.

“Daripada kes itu 1.42 peratus atau 1,559 kes melibatkan sekolah berasrama dan hanya 0.53 peratus atau 585 kes membabitkan sekolah bukan asrama, tidak sampai satu peratus pun,” katanya dalam sidang media khas hari ini. 

Terdahulu KKM melaporkan 60.8 peratus kes Covid-19 di Malaysia adalah kes sporadik dan baki 39.2 peratus melibatkan kes kluster.

“Jika kita lihat 60.8 peratus kes sporadik, dalam konteks ini, kanak-kanak terdedah (kepada Covid-19) di mana-mana saja, cumanya dalam keadaan di sekolah murid-murid berada dalam keadaan terkawal kerana SOP memang telah ditetapkan, bukan kita katakan yang kita ini sempurna tetapi kita akan sedaya upaya memastikan jangkitan di sekolah dapat diminimakan dengan SOP yang kita tetapkan,” katanya.

Untuk memperketatkan pematuhan SOP di asrama, Radzi berkata, KPM akan menambah baik langkah-langkah pematuhan SOP melalui pasukan petugas khas yang ditubuhkan.

Bagaimanapun menurutnya arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan jika keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here