KPM laksana PdPR dua minggu selepas Aidilfitri

0
3

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memutuskan untuk melaksanakan sesi persekolahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti Aidilfitri ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurutnya, langkah ini diambil bertujuan mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.

“Dalam konteks pelaksanaan PdP pula, KPM mengambil pendekatan untuk melaksanakan PdPR selama dua minggu selepas cuti perayaan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sementara itu Dr Radzi memaklumkan cuti  Aidilfitri untuk sekolah Kumpulan A bermula 7 Mei manakala sekolah Kumpulan B pada 8 Mei ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, cuti untuk Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada hari Selasa, 11 Mei 2021. 

“KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah bagi Kumpulan A akan mengambil cuti peristiwa atau cuti ganti pada 9 dan 10 Mei 2021 manakala sekolah dalam Kumpulan B akan mengambil cuti tersebut pada 10 Mei 2021.

“Oleh yang demikian, sekolah Kumpulan A akan bercuti mulai 7 Mei hingga 15 Mei 2021 manakala sekolah Kumpulan B pada 8 Mei hingga 16 Mei 2021,” catatnya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here