Pencetus kluster Sivagangga kini penghuni Penjara Pokok Sena

0
2

PEMILIK kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, yang menjadi pencetus jangkitan Covid-19 bagi Kluster Sivagangga di Kedah, sudah dipindahkan ke Penjara Pokok Sena, semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, sebelum ini dikuarantin dan dipantau kakitangan Jabatan Kesihatan di Hospital Alor Setar bagi memastikannya bebas pandemik berkenaan.

Beliau berkata, selepas dijatuhkan hukuman penjara pada 13 Ogos lalu, lelaki berkenaan dikawal wadar penjara di wad sebelum dibenarkan keluar hospital, semalam.

“Petang semalam, dia sudah discaj dan terus dibawa ke penjara. Mengikut keputusan asal, dia akan ke Penjara Pokok Sena,” katanya seperti dilaporkan BH.

Nezar Mohamed sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian Covid-19.

Namun hukuman penjara ketika itu tidak dapat dijalankan kerana dia dalam pemantauan di wad hospital.
Lelaki berkenaan ditahan polis pada 23 Julai lalu kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai.-Malaysia post