KKM cadang hentikan penerbangan dari India – Dr Adham

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghadkan atau menghentikan penerbangan daripada India.

Ini susulan terdapat kebimbangan dalam kes melibatkan varian Covid-19 daripada luar negara terutama India yang kini dilaporkan mempunyai varian mutasi berkembar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya akan mengesyorkan perkara itu kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan bermesyuarat hari ini.

“KKM akan mencadangkan kepada Sidang Khas supaya varian-varian yang dibimbangi ini terutama dari India untuk kita atasi segera.

“Kemungkinan besar kita akan mohon kerajaan mengehadkan atau menghentikan penerbangan daripada India kerana terdapat mutasi berkembar dalam varian di negara itu,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan mingguan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, keputusan itu penting dan KKM mahu kerajaan mengambil tindakan pencegahan daripada negara-negara yang mempunyai kes varian bermutasi.

Katanya, selain itu terdapat juga varian lain yang dikesan seperti daripada United Kingdom (UK) atau B 1-1-7 dan varian daripada Afrika Selatan.

“Untuk itu kita juga akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menambah jumlah hari untuk kuarantin daripada 10 kepada 14 hari daripada negara yang mempunyai varian mutasi Covid-19.

“Bagaimanapun penerbangan bukan hanya terus daripada negara itu berkenaan sahaja, mungkin dari transit jadi semua yang balik dari luar negara ini kita akan lihat dari mana mereka datang,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua pilihan bagi individu yang dikenakan lanjutan tempoh kuarantin iaitu pertama membabitkan mereka yang datang dari negara yang merekodkan kes varian.

“Manakala yang transit dari negara lain pula pemeriksaan apabila mereka tiba di pintu masuk antarabangsa, mungkin akan ada pegawai membuat penilaian risiko terhadap mereka,” katanya.

Beliau memberitahu pihaknya akan meminta kedua-dua cadangan itu dilakukan secepat mungkin atau serta-merta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here