Tidak wajar syak kerajaan salah guna kuasa ketika darurat – Takiyuddin

0
2

KERAJAAN memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia bagaimanapun bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh kerajaan dari semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti-parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemic Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.

“Dalam hal ini kerajaan ingin menarik perhatian semua pihak bahawa langkah pengawalan dan pencegahan wabak merbahaya ini masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan.

“Di samping itu pihak penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Imigresen, RELA dan lain-lain masih bertungkus lumus menjaga perbatasan negara dari dibolosi pendatang asing yang turut membawa risiko penularan Covid-19 dari negara luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen, namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

“Semasa darurat berkuatkuasa, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan, termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa darurat.

“Dalam masa yang sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salahguna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kirakira Wang Awam (PAC),” katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giat demi memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/proklamasi-darurat-hormati-keputusan-pemerintah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here