Pulihkan demokrasi yang tergendala – Shahril Hamdan

0
2

HASRAT untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sejurus setelah situasi Covid-19 terkawal tetap menjadi keutamaan Umno, namun ia tergendala selagi sistem demokrasi tidak dipulihkan, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Menurutnya, ia susulan Parlimen masih ditutup dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang.

Beliau berkata, justeru itu antara keputusan utama mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam adalah menggesa agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya.

“Jangankan soal membuktikan keabsahan majoriti Kerajaan PN (Perikatan Nasional), sedangkan bersidang pun tidak. Jangankan hendak melulus perbelanjaan, sedangkan bersidang pun tidak.

“Jika ada hujah mahu mengadakan pilihanraya kelak sebagai jalan keluar dari kemelut politik, itupun tidak mampu berlaku selagi Parlimen tak bersidang dan darurat terpakai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Umno percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, selagi prinsip akauntabiliti dikesampingkan, selagi itulah pelabur menjauhi, selagi itulah ekonomi hambar, akibat pembuatan dasar negara tidak terurus seperti sediakala.

“Sebarang ketetapan berkenaan kelangsungan pembabitan Umno dalam kerajaan PN pula akan diputuskan atas semangat musyawarah.

“Apabila keputusan itu diambil, MKT yakin bahawa semua ahli parti termasuk yang menjadi anggota kerajaan hari ini akan mematuhinya, sekaligus mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti,” katanya.

Shahril berkata, dalam hal pemilihan parti pula, sekali lagi Umno mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.

“MKT memutuskan untuk mendapat panduan dari pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik, mengambilkira kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here