BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa memuji tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang mengambil langkah bijak dengan tidak menimbulkan polemik baru dalam mesyuarat semalam.
Ahli Parlimen Ketereh itu turut memuji langkah merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi meminta nasihat mengenai pemilihan Umno.
“Saya merasakan MKT Umno telah mengambil langkah bijaksana dan cermat tanpa mewujudkan polemik baru.
“Ini masa terbaik untuk berfikir dan cari jalan perbetul kekusutan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, imej dan persepsi rakyat terhadap parti itu perlu segera diperbaiki dan solidariti juga perlu dibina kembali.
“Tentang pemilihan parti, adalah elok utk dapatkan arahan ROS seperti diputuskan.
“Ini meletakkan Umno dalam kesiapsiagaan dan ‘full compliance’,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ROS pula tidak perlu menunggu surat rasmi, kerana kenyataan akhbar rasmi oleh Setiausaha Agung (SUA) Umno adalah jelas dan ROS hanya perlu beri arahan secara bertulis minggu ini.
“Mengenai prosedur operasi standard (SOP) mesyuarat dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membantu.
“Saya percaya segalanya bergerak ke arah lebih baik. Semoga Umno terus diperkasa. Syabas kepada semua ahli MKT Umno,” katanya.
SUA Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam dilaporkan berkata parti itu akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah ROS dan Ketua Pengarah MKN bagi meminta nasihat untuk mengadakan pemilihan parti itu tahun ini.
Menurutnya, MKT memutuskan perkara itu berikutan negara masih dilanda pandemik Covid-19 dan jangkitan harian kes semakin meningkat.
“Ini bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan Umno cawangan termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara melibatkan ahli seramai 3.3 juta orang dapat diadakan dengan berkesan dan lancar, mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat,” katanya. – Malaysiapost

