KERETA Perodua Kancil ‘lejen’ yang dikesan membuat kemunculan semula baru-baru ini akhirnya ditahan polis di Bandar Metropolitan Kepong, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata polis telah membuat pemeriksaan ke atas kereta itu pada jam 1 pagi tadi.
“Pemeriksaan mendapati pemandu berusia 47 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu, kita turut mengeluarkan saman terhadap lelaki itu.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu pula mendapati ia tidak mempunyai cukai jalan, tidak mempunyai bumbung dan tayar kereta hadapan sebelah kanan pecah,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Zulkefly berkata, lelaki itu juga menunjukkan sebuah lagi kereta Perodua Kancil warna hijau kepada polis.
Perodua Kancil hijau itu juga berada dalam keadaan daif seperti tidak mempunyai nombor pendaftaran selain cermin pecah di pintu belakang sebelah kiri.
“Kedua-dua kereta itu tidak layak berada di atas jalan raya dan membahayakan kepada pengguna yang lain.
“Dua kenderaan tersebut ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng memaklumkan di Facebook mengenai laporan kereta tersebut yang kembali tular di media sosial dan sering kelihatan di Kepong kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan terhadap pemilik Perodua ‘lejen’ tersebut.
Lip Eng turut berkongsi video kereta tersebut berada di atas jalan raya dan menggesa pihak berkuasa termasuk pihak polis mengambil tindakan sebelum kejadian tidak diingini berlaku. – Malaysiapost

