MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno petang esok dijangka tidak menyentuh mengenai tindakan terhadap presiden parti seperti mana yang digembar-gembur media termasuk laman sosial.
Ahli MKT Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata sebaliknya, agenda utama adalah mengenai pemilihan parti sama ada perlu diteruskan atau tidak berikutan peningkatan kes Covid-19.
Beliau turut menafikan mesyuarat itu akan membincangkan keputusan parti mengenai nasib Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya baca banyak berita dan komen di media sosial kata MKT akan buat keputusan penting mengenai Presiden Umno, semuanya memetik sumber parti dan bukan ahli MKT.
“Ini semua khabar angin dan isu dibangkitkan di luar seperti gerakan mahu jatuh Presiden dan hendak merehatkan Presiden dan ‘kluster mahkamah’ semua ini tidak betul,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau menjelaskan mesyuarat MKT esok antara lain akan membincangkan gerak kerja parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sebelum ini, beberapa laporan yang memetik sumber parti mendakwa mesyuarat MKT akan memutuskan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden susulan pendedahan rakaman audio mirip suaranya dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kandungan audio itu, antara lain memaparkan perbualan antara dua individu yang berkisar soal perjalanan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu, yang menyaksikan pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dipersetujui sebulat suara perwakilan PAU.
Turut dikatakan mesyuarat MKT itu bakal menarik balik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sekiranya usul menarik balik sokongan daripada kerajaan PN dimuktamadkan, hayat kerajaan PN secara automatik bakal terbubar kerana jumlah keseluruhan ahli Parlimen Umno dan BN yang masih memberikan sokongan adalah berjumlah 38 orang.
Seorang lagi ahli MKT, Datuk Jalaluddin Alias menegaskan mesyuarat MKT esok adalah mesyuarat bulanan biasa dan menjelaskan ia bukan untuk membuat keputusan mengenai sokongan parti atau nasib Presiden.
“Ini mesyuarat biasa MKT, agenda tumpu kepada gerak kerja parti untuk hadapi PRU-15, tiada kaitan gerakan singkirkan mana-mana pemimpin,” katanya.
Sementara, Datuk Norliza Abdul Rahim pula berkata, beliau mendapat jemputan mesyuarat itu tetapi kemungkinan tidak hadir kerana berada di Pulau Pinang.
Beliau diberitahu mesyuarat akan membincangkan gerak kerja parti dan akan ada majlis berbuka puasa serta rakaman selawat untuk Aidilfitri.
“Saya tidak tahu mengenai agenda lain, itu kena tanya Setiausaha Agung parti,” katanya. – Malaysiapost

