Cuepacs gesa henti serang pengawai kesihatan kompaun masjid

0
3

CUEPACS hari ini mengecam tindakan pihak tertentu yang melakukan serangan peribadi kepada seorang pegawai kesihatan berhubung isu kompaun sebuah masjid di Pekan Pahang, baru-baru ini.

Presidennya Adnan Mat, berkata pihaknya menerima laporan bahawa penjawat awam yang mengeluarkan kompaun berkenaan menjadi mangsa buli dan kecaman di media sosial tanpa pembelaan sewajarnya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila serangan tersebut turut dilakukan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa melakukan semakan fakta dan kronologi kes yang tepat terlebih dahulu.

“Perbuatan ini mendedahkan mangsa, Zuharnan Rashid yang merupakan Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan kepada lebih banyak serangan dan kecaman tidak berasas sehingga ruang peribadi beliau diceroboh.

“Tindakan tersebut sebenarnya telah mengganggu tugas seorang penjawat awam yang hanya bertindak demi memastikan kepatuhan masyarakat terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, CUEPACS pada peringkat awal memberikan ruang kepada mangsa dan Jabatan Kesihatan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, ini kerana CUEPACS berasakan keadaan dan situasi pada masa tersebut dapat diselesaikan dengan baik antara pihak masjid, Pejabat Kesihatan Daerah dan masyarakat awam.

“Bagaimanapun isu ini dilihat semakin tidak terkawal berikutan penyebaran maklumat yang tidak tepat telah mengakibatkan Zurharnan dipersalahkan 100% dalam isu tersebut.

“CUEPACS terpanggil untukmenyatakan sokongan kepada PKP Zulhasnan yang telah dicerca dan dikeji oleh Nitizen sehingga melibatkan keluarga tanpa usul periksa,” katanya.

Adnan berkata, sekiranya keadaan itu tidak dapat dijernihkan ia boleh menjatuhkan moral dan semangat penjawat awam yang ternyata bertungkus lumus mengawal dan mencegah pandemik Covid-19.

“Berdasarkan kronologi kes, CUEPACS difahamkan keputusan kompaun tersebut telah dibuat dengab penglibatan pelbagai ketua jabatan kerajaan termasuk Ketua Kadi Daerah.

“Keputusan kompaun dibuat berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan ahli kariah masjid terbabit.

“Apabila hendak dilakukan kontak tracing, berlaku kesukaran kepada pihak berkuasa kerana ramai jawatankuasa masjid dan juga jemaah yang hadir tidak merekod kehadiran nereka dalam buku kehadiran serta menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, mengikutkan kesalahan tersebut kompaun berkenaan boleh dikenakan secara individu sekali gus akan mengakibatkan ramai jemaah dikenakan tindakan.

“Namun, keputusan diambil untuk hanya mengeluarkan 1 kompaun sahaja kepada jawatankuasa masjid sebagai pengajaran kepada masjid-masjid lain dan bukan untuk tujuan aniaya.

“Semasa keputusan tersebut diambil tuan kadi daerah juga turut menyatakan tiada halangan termasuklah ketua-ketua jabatan lain yang turut hadir.

“Ianya sebagai pengajaran kepada masjid-masjid lain di daerah Pekan tetapi tidak menyangka perkara ini (notis kompaun) telah diviralkan ke merata tempat,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, CUEPACS menggesa dan meminta semua pihak termasuk orang awam serta NGO tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu dengan menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga mencetuskan kegelisahan awam sekali gus menyukarkan tugas penjawat awam.

“Sebagai NGO dan individu yang bertanggungjawab kita wajar mendapatkan maklumat tepat dari sumber sahih sebelum membuat kenyataan berbentuk serangan.

“Tuduhan yang tidak berasas bukan sahaja mencetuskan perdebatan awam, tetapi memberi kesan buruk kepada perkhidmatan awam sekiranya tuduhan tersebut tidak benar,” katanya.

Sehubungn itu, beliau menggesa serangan bersifat peribadi kepada anggota perkhidmatan awam yang bertindak berlandaskan undang-undang bagi mengekang penularan wabak Covid-19 perlu dihentikan.

“CUEPACS juga memohon supaya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau Pengerusi Task Force Covid-19 daerah Pekan tampil memberikan penjelasan sebenar dalam isu ini.

“Ia bagi memastikan nama Zurharnan dapat dibersihkan dan beliau tidak lagi diserang oleh beberapa pihak termasuk NGO yang tidak tahu kisah sebenar disebalik apa yg berlaku,” katanya.

Terdahulu,Malaysiapost melaporkan, Masjid Sri Maulana di Taman Sri Maulana, Pekan dikompaun RM10,000 kerana gagal menyediakan imbasan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah ketika mengesahkan perkara itu menjelaskan kompaun dikeluarkan berikutan masjid itu tidak mengikut SOP yang ditetapkan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/21/tak-patuh-sop-masjid-dikompaun-rm10000/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here