PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus mempertikaikan layanan ‘double standard’ pihak berkuasa berhubungan tindakan kompaun yang dikenakan kepada rakyat kerana tidak mematuhui prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mempersoalkan cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Isnin lalu untuk mengenakan kompaun terhadap pihak sekolah jika wujud kluster baharu kerana mengabaikan SOP Covid-19.
“Saya tertanya-tanya bagaimana seorang guru boleh mengawal 30 hingga 40 murid dalam satu masa?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, sejak minggu lalu masyarakat disajikan dengan laporan berhubung pelbagai kes yang melibatkan rakyat marhaen dikompaun.
Katanya, ia termasuklah pihak pengurusan Masjid Sri Maulana di Pahang yang dikompaun RM10,000 kerana dikatakan tidak mematuhi SOP pencegahan Covid-19.
“Isnin lalu enam penuntut Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dengan meletakkannya di bawah dagu.
“Lebih menarik perhatian netizen apabila pasangan suami isteri instafamous didenda RM2,500 dan penjara sehari kerana memberikan maklumat palsu berhubung aktiviti rentas negeri,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sampai bila pihak berkuasa mahu mengenakan kompaun pada rakyat, tambahan pula dalam situasi sukar ketika ini.
“Melibatkan rakyat semuanya boleh diambil tindakan tetapi golongan kayangan tidak mengapa. Begitukah?
“Kenapa perlu berlaku ‘double standard’ pada rakyat. Pokok pangkal permasalahan ini adalah kelewatan program vaksinasi secara menyeluruh. Jadi, isu vaksin ini siapa yang perlu dikompaun?,”soalnya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa program vaksinasi rakyat dapat disegerakan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan penularan kes.
“Bukankah berbilion ringgit sudah dihabiskan untuk membeli vaksin? Dan saya dimaklumkan ada pertambahan peruntukan bagi tujuan itu. Jadi apa lagi masalah?
“Setiap hari kita mencanang cerita rakyat tidak menjaga SOP. Sejauh mana murid sekolah boleh mematuhi SOP berbanding Ahli Parlimen menjaga jarak di Parlimen. Pernahkan kita membincangkannya? ,”katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) baru-baru ini mencadangkan semua sekolah ditutup buat sementara waktu dan laksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Ia bagi mengurangkan risiko penularan kes dan keselamatan guru serta pelajar.
“Isunya di sini sudah setahun dua bulan kita berhadapan Covid-19. Masalah sama masih berulang. Dan setiap keputusan kerajaan berubah-ubah hingga menyusahkan rakyat. Adakah kita tidak belajar daripada pengalaman?,” katanya. – Malaysiapost

