Amri tunjuk kehebatan bantu Sabah ikat Selangor

0
2

AMRI Yahya membuktikan dirinya ‘makin tua makin berisi’ dengan membantu Sabah mengikat bekas bekas pasukannya, Selangor 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Meskipun berusia 40 tahun, anak jati Tanjong Karang itu menyerlahkan pengalaman ‘orang lama’ tetap berbisa menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-31.

Amri yang menerima hantaran di sebelah kanan kotak penalti Sabah terus membawa bola dan mengelecek seorang pertahanan Selangor sebelum memperdayakan penjaga gol Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid dengan rembatan leret mengegar jaring gol Selangor.

Bagaimanapun Amri yang pernah menyarung jersi Selangor selama 16 musim dari 2001 hingga 2013 dan 2017 hingga 2019, tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan di penghujung babak pertama.

Karsten Neitzel telah membuat perubahan taktikal Selangor pada babak kedua dengan membawa masuk Norhakim Hassan dan Shahrel Fikri Md. Fauzi, membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu berjaya mencipta umpanan jaringan buat Ifedayo Olusegun.

Dua gol daripada Ifedayo pada minit ke-56 dan 71 itu menyaksikan Selangor bangkit mendahului 2-1 sekali gus memberi bayangan mereka mampu meraih kemenangan dalam aksi tersebut.

Bagaimanapun, hasrat Selangor memburu tiga berturut-berturut berkecai apabila penyerang Sabah Bobby Gonzales menghukum kealpaan benteng pertahanan Selangor pada hujung permainan dengan menanduk masuk gol penyamaan hasil daripada sepakan penjuru pada minit ke-87.

Gergasi Merah harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengutip tiga mata penuh selepas mensia-siakan deretan peluang untuk menghasilkan lebih banyak gol pada aksi ke-10 Liga Super itu.

Keputusan akhir 2-2 itu menyaksikan Selangor terpaksa akur sekadar meraih satu mata sekali gus kekal menghuni tangga kelima dengan 15 mata selepas 10 perlawanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here