Demam Babi Afrika jejas 10 daerah Sabah

0
3


DEMAM Babi Afrika (ASF) melanda 10 daerah di Sabah dengan lapan daripadanya diisytihar sebagai kawasan wabak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata 10 daerah itu adalah Pitas, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kota Marudu, Sandakan, Telupid dan Tongod selain Tawau dan Nabawan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) mengesan satu kes aktif ASF di Nabawan, selepas 169 babi berjanggut liar telah dilaporkan positif ASF pada 18 April lalu.

“Setakat ini, kita telah memusnahkan 398 ekor babi, manakala 535 ekor pula mati disebabkan penyakit demam.

“Jabatan (JPVS) juga telah mengadakan 234 kempen kesedaran di 14 daerah yang bukan hanya bertujuan untuk mendidik orang awam mengenai penyakit terbabit, malah juga sebagai usaha mengelakkan ASF merebak.

“Walaupun Sandakan diisytiharkan sebagai daerah wabak ASF, nasib menyebelahi kita kerana ia tidak merebak ke ladang pengeluaran babi utama di daerah terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, Jeffrey berkata, kerajaan negeri melaksanakan peraturan baharu bagi melindungi babi komersial termasuk permit khas yang dikeluarkan JPVS untuk membolehkan babi hidup dan produk berasaskan ia dipindahkan dari satu kawasan ke kawasan lain.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) kawalan ASF yang baharu, mana-mana kedai yang menjual daging babi yang didapati dijangkiti virus ASF akan ditutup selama satu hari untuk penyahtinjaan dan produk daging babi hanya akan dijual setelah disaring bebas ASF.

“Selain itu, penternakan babi yang disyaki menjadi sumber babi yang dijangkiti akan dikuarantin hingga tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun Jeffrey menegaskan virus itu hanya membawa maut kepada babi, namun tidak berbahaya kepada manusia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here