67 peratus sokong Muhyiddin PM – Merdeka Center

0
2

BADAN penyelidik Merdeka Center mendapati 67 peratus rakyat di Semenanjung menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan menyifatkan penilaian itu sebagai stabil.

Merdeka Center melaporkan tahap sokongan terhadap Muhyiddin yang dicatatkan adalah 74 peratus antara Jun dan Julai tahun lalu. Tahap terendah dicatatkan pula adalah 63 peratus pada Januari lalu.

Sebilangan besar responden Melayu (83 peratus) menyokong Muhyiddin, berbanding 30 peratus responden Cina dan 66 peratus responden India.

Tinjauan Merdeka Center itu dilakukan antara 31 Mac dan 12 April lalu dengan melibatkan 2,111 responden yang terdiri daripada 64 peratus  Melayu, Cina (28 peratus) dan India lapan peratus.

Kaji selidik itu dilakukan melalui talian tetap dan telefon bimbit dengan responden terpilih melalui pensampelan berstrata secara rawak untuk menggambarkan usia, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya. Kajian ini dibiayai oleh Merdeka Center.

Sementara itu, majoriti responden (46 peratus) percaya bahawa negara ini “menuju ke arah yang salah”.

Antara keluhan utama adalah ketidakstabilan politik (27.3 peratus responden) dan keadaan ekonomi yang tidak baik (15.5 peratus) dan pentadbiran kerajaan yang buruk (7.9 peratus).

Majoriti responden Cina dan India percaya negara ini “menuju ke arah yang salah” manakala majoriti responden Melayu (54 peratus) percaya sebaliknya.

Jumlah responden Melayu yang percaya bahawa negara berada di “arah yang betul” menurun daripada 82 peratus pada Mei tahun lalu.

Responden yang merupakan kakitangan kerajaan / GLC, tinggal di pantai timur dan golongan muda cenderung untuk percaya bahawa negara ini menuju ke arah yang betul.

Sebanyak 23 peratus menyebut mengenai pentadbiran kerajaan yang baik, program kebajikan (10.4 peratus) dan suasana aman damai (5.3 peratus).

Semua kumpulan etnik bersetuju bahawa ekonomi adalah masalah terbesar yang dihadapi negara ini diikuti dengan penyebaran Covid-19. 

Hanya 2.4 peratus responden menyebut politik sebagai masalah terbesar di negara ini.

Sementara itu, jumlah individu yang percaya bahawa ekonomi dan kewangan peribadi mereka lebih buruk berbanding tahun lalu meningkat sejak pertengahan tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here