Rakyat sayang Muhyiddin – Wan Saiful

0
1

KAJIAN terbaru Merdeka Centre yang mendapati sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berada pada tahap tinggi iaitu 67 peratus, membuktikan rakyat sayang kepada Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata rakyat menyayangi pemimpin yang memberi tumpuan kepada usaha membela nasib dan kebajikan mereka.

Beliau berkata, hasil tinjauan badan penyelidik itu juga membuktikan rakyat menolak individu yang hanya mahu meraih populariti politik untuk kepentingan peribadi.

“Peratusan sokongan adalah tinggi dari kalangan orang Melayu (83 peratus) manakala dari kalangan bukan Melayu rendah sedikit.

“Saya melihat ini sebagai indikasi bahawa Perikatan Nasional (PN)perlu mempertingkat usaha menerangkan kepada rakyat bukan Melayu mengenai langkah yang telah dan akan diambil untuk memastikan kemakmuran negara dikongsi secara saksama dengan semua, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tinjauan itu juga mendapati bahawa 74 peratus pengundi memperakui bahawa kerajaan PN sentiasa konsisten dalam usaha membantu rakyat.

Katanya, sebanyaka 56 peratus pula merasakan kerajaan PN mempunyai visi yang jelas mengenai cara-cara untuk memperbaiki negara.

“Ini semua petanda bahawa keutamaan PN adalah betul. Secara umumnya saya merasakan hasil tinjauan ini membuktikan bahawa rakyat boleh melihat dengan jelas siapa yang mahu membela rakyat dan memperbaiki negara

“Serta siapa pula yang tidak sudah-sudah berpolitik dan menimbulkan polemik atas agenda politik tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, rakyat adalah hakim terbaik terhadap sesebuah kerajaan dan kajian itu membuktikan rakyat Malaysia telah bersuara.

“Mereka mahu pemimpin yang kompeten dan bersih seperti Tan Sri Muhyiddin yang agendanya hanyalah prihatin rakyat.

“Mereka tidak mahu pemimpin yang rasuah atau kleptokrat, atau yang kerjanya menuntut jawatan, tidak habis-habis membantah kerajaan dan yang hanya tahu ‘komplen’ sahaja,” katanya.

Terdahulu, kajian Merdeka Center mendapati 67 peratus rakyat di Semenanjung menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan menyifatkan penilaian itu sebagai stabil.

Merdeka Center melaporkan tahap sokongan terhadap Muhyiddin yang dicatatkan adalah 74 peratus antara Jun dan Julai tahun lalu. Tahap terendah dicatatkan pula adalah 63 peratus pada Januari lalu.

Sebilangan besar responden Melayu (83 peratus) menyokong Muhyiddin, berbanding 30 peratus responden Cina dan 66 peratus responden India.

Tinjauan Merdeka Center itu dilakukan antara 31 Mac dan 12 April lalu dengan melibatkan 2,111 responden yang terdiri daripada 64 peratus Melayu, Cina (28 peratus) dan India lapan peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here