PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangannya terhadap ketidakstabilan ekonomi negara sehingga menyaksikan syarikat Antarabangsa mula hilang keyakinan serta menarik pelaburan di Malaysia.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata semua pihak dapat melihat satu persatu syarikat antarabangsa memindahkan operasi dari Malaysia ke negara lain sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, minggu lalu, Citigroup Inc menyatakan hasrat untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran termasuk Malaysia.
“Kenyataan itu telahpun disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jane Fraser.
“Justeru, jika hasrat itu dilaksanakan ia bermakna bank berkenaan akan mengendalikan francais mereka hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan London.
“Kenapa Singapura dan bukan Malaysia sedangkan dua negara ini saling berdekatan. Saya fikir sahabat sekalian tahu jawapannya. Saya percaya jika kita bertanyakan pihak pemerintah, jawapan yang akan diberikan adalah ia kesan ekonomi global,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga percaya kerajaan akan mendakwa bukan Malaysia sahaja terjejas malah negara lain turut terkena tempias sama.
“Selain Malaysia, 12 negara lain yang terjejas adalah Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengharapkan Citi Malaysia akan terus kekal operasi lebih lama kerana ia melibatkan ekonomi dalaman serta pekerja yang bergantung dengan syarikat itu.
“Semalam Pengurus Perniagaan Pengguna Citi Malaysia, Elaine Fan pula memberitahu semua produk perkhidmatan sedia ada akan diteruskan. Tidak akan ada perubahan sehingga mereka memaklumkan perubahan pada masa depan.
“Sememangnya kita mengharapkan pengekalan itu dalam tempoh yang panjang kerana melibatkan ekonomi dalaman. Jika rangkaian bank ditutup bagaimana dengan cawangan, ATM, pusat panggilan, pendeposit dan pejabat? Tentunya akan ditutup bukan?
“Lebih parah apabila kita bakal menyaksikan ramai pekerja tempatan diberhentikan kerja sekaligus menambahkan kadar pengangguran. Tidak kurang juga FDI negara, cukai dan sumbangan ekonomi negara akan terus berkurangan,” katanya.
Beliau berkata, ini bukan soal ekonomi global namun ia berkait rapat bagaimana kerajaan mahu memulihkan ekonomi Malaysia.
“Malah ia juga berkait rapat kestabilan politik, ketetapan dasar, ketetapan cukai dan kemampuan menangani kes Covid-19.
“Jika keyakinan pelabur tiada, bagaimana mereka mahu membuka perniagaan di Malaysia?,” soalnya. – Malaysiapost

