GEMPA bumi lemah ketiga bulan ini berukuran 2.5 pada skala Richter dilaporkan berlaku di daerah Ranau, Sabah pada jam 12.02 tengah malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan hari ini memberitahu gempa bumi itu berlaku 8 kilometer timur laut dari Ranau.
Menurut kenyataan itu gempa bumi lemah yang berlaku pada kedalaman 10 km itu mungkin menyebabkan gegaran dirasai di sekitar daerah berkenaan.
Gempa bumi lemah pertama di Ranau bulan ini berlaku jam 11.10 malam Ahad lalu dengan magnitud 2.8 skala Richter dan diikuti gempa bumi lemah kedua 2.7 skala Richter pada 1.05 pagi 19 April lalu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecemasan berkenaan kejadian tersebut. – Malaysiapost
Foto Kredit: TravelKliq

