PELAWAK Ali Puteh dan Pencetus Ummah (PU) Rahmat berkolabrasi menghasilkan parodi lagu raya judi yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, bekerjasama dengan PU Rahmat Ikhsan dalam menulis lirik bagi memparodikan lagu raya judi Gdbet333.
Lirik lagu judi raya yang mengundang kemarahan umat Islam di negara ini selepas tersebar di media sosial pada awal Ramadan ini ditukar kepada lirik berbentuk nasihat dan peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dengan judi ‘online’.
Parodi itu dihasilkan dalam bentuk video dan di muat naik ke laman YouTube sejak tiga hari lalu.
Antara nasihat dan peringatan dalam video parodi lagu raya judi bertajuk ‘Gd Bet Neraka’ adalah judi atas talian itu adalah haram di sisi Islam dan sesiapa yang terjebak akan merana di akhirat.
“Tabiat judi amalan syaitan kawan, bertaubat kita pada yang Esa.
“Masuk sepuluh cuci sepuluh, di akhirat kau berpeluh-peluh.
“Siapa suruh iman tak teguh, so at segera bertaubat sebelum terlambat,” antara lirik lagu parodi berkenaan.
Setakat ini video berdurasi 2 minit 18 saat itu sudah ditonton lebih 15,000 kali dan mendapat 103 tanda suka serta hanya empat tidak suka. – Malaysiapost

