WARGA asing diberikan kebenaran khusus oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) untuk solat berjemaah di Masjid India, Kuala Lumpur
Kebenaran itu diberikan selepas permohonan dibuat oleh pihak pentadbiran Masjid India yang meminta pertimbangan terhadap larangan warga asing solat di masjid berkenaan.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kebenaran khusus kini diberikan kepada warga asing yang ingin menunaikan solat berjemaah di Masjid India.
“Kebenaran khusus ini terutamanya adalah kepada golongan ekspatriat dan profesional.
“Ia mengambil kira permohonan yang dibuat oleh pentadbiran Masjid India,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau berkata, kebenaran khusus itu bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kerajaan sebelum ini tidak membenarkan warga asing menunaikan solat berjemaah termasuk solat Jumaat di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, berdasarkan garis panduan 18 Mac lalu.
Namun, beberapa peniaga sekitar Masjid India membuat permohonan dan menggesa Jawi mengkaji semula larangan berkenaan. – Malaysiapost

