Tiada gerakan menjatuhkan Presiden Umno – Armand Azha

0
3

ISU mengenai gerakan menjatuhkan atau desakan agar Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘berehat’, hanyalah mainan politik musuh Umno. 
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan perkara itu tidak pernah timbul  dan ia hanyalah kenyataan daripada musuh politik parti itu. 
“Tak dengar pun ada apa-apa gerakan nak menjatuhkan Presiden Umno, nak suruh rehat dan sebagainya..tidak pernah keluar (timbul). 
“Jadi bagi saya ini semua kenyataan-kenyataan nakal daripada musuh-musuh politik Umno,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum bantahan kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, semalam. 
Bantahan itu susulan kenyataan Muhammad Faiz yang menyifatkan ‘Kluster Mahkamah’ seperti binatanh politik yang menggunakan Ketuanan Melayu demi kepentingan peribadi. 
Menurutnya, Umno adalah sebuah parti demokrasi, sebuah parti yang berpegang kepada institusi. 
“Sebagai pemimpin parti, wajib kita terus menyokong Presiden parti kita. Apa jadi sekalipun kita akan pertahankan Presiden dan akan terus membawa agenda parti kita. 
“Tapi apa yang pasti kita jangan dengar kenyataan-kenyataan atau permainan politik nakal daripada orang di media sosial yang mengatakan ada gerakan tertentu,” katanya. 
Armand berkata, sebagai contoh tomahan dibuat Muhammad Faiz mengenai gerakan Umno 3.0 dan sebagainya. 
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) menggaji seorang blogger dengan bayaran RM15,000 untuk menjatuhkan kredibiliti dan imej Umno, Armand berkata perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa. 
“Saya dah lihat video tersebut, kadang-kadang apabila rakan-rakan kita emosi dan sebagainya adakala mereka mengeluarkan kenyataan dengan tidak beefikir panjang sampai terkeluar kata beliau mendapat RM15,000 untuk menyerang kepimpinan Umno dan sebagainya
“Bagi saya perkara ini perlu disiasat, perlu dikaji dengan matang. Kalau ada gerakan atau pemberian duit sehingga RM15,000 kepada media-media untuk menjatuhkan pemimpin Umno, menjatuhkan kredibiliti parti ini seharusnya pihak polis, pihak berkuasa buat siasatan,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here