Convent Bukit Nanas belum diwarta sebagai tapak warisan

0
2

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menjelaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMK CBN), Kuala Lumpur belum diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).

Berdasarkan maklumat sejarah, SMK CBN telah dirasmikan pembukaannya oleh EL Brockman, Ketua Setiausaha bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1911.

Bangunannya berbentuk English Gothic dibina di bawah pengawasan arkitek kerajaan, iaitu Huxley dan Kesteven.

SMK CBN hanya menerima pelajar perempuan sahaja dan sejarah turut mencacatkan semasa pendudukan Jepun, ia telah dijadikan tempat perlindungan sementara dan berjaya menyelamatkan ratusan nyawa pelarian awam ketika itu.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, sehingga kini, SMK CBN telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka negara antaranya Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Gabenor Bank Negara, Datuk Noor Shamsiah Mohd Yunus dan ramai lagi.

“Berlandaskan justifikasi sejarah, ciri-ciri seni bina bangunan dan signifikan warisan yang jelas pada SMK CBN, maka JWN pada Mei 2008 telah memulakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen berkaitan bagi tujuan pewartaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

“Pada Ogos 2008, JWN telah mengangkat permohonan keizinan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) ketika itu Kementerian Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar selaras Seksyen 30, Akta 645 untuk mewartakan bangunan sekolah tersebut dan disusuli permohonan kali ketiga pada Februari 2010.

“Persetujuan PBN telah diperolehi pada September 2010 dan JWN telah meneruskan memulakan proses penetapan sekolah tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun begitu, kata Nancy, semasa tempoh Siaran Notis Niat di Akhbar Tempatan, pihak pemegang amanah ketika itu telah menghantar Notis Bantahan melalui firma guaman kepada Pesuruhjaya Warisan pada 12 Julai 2010.

Katanya lagi, oleh kerana Notis Bantahan telah diterima di bawah Seksyen 28, maka sesi pendengaran selaras Seksyen 29 Akta 645 telah diadakan pada 8 April 2011 untuk Pesuruhjaya Warisan mendengar penjelasan bantahan daripada pemegang amanah.

Susulan itu beliau berkata pada 21 Julai 2011, setelah Pesuruhjaya Warisan memperhalusi dan mempertimbangkannya maka Pesuruhjaya Warisan memutuskan untuk tidak meneruskan penetapan sekolah tersebut sebagai tapak warisan di bawah Akta 645.

“Bagaimanapun, atas justifikasi dan signifikasi warisan SMK CBN, MOTAC mengalu-alukan pemegang amanah untuk mempertimbang dan mencalonkan SMK CBN untuk diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 bagi tujuan memulihara, memelihara dan melindungi warisannya.

“Untuk makluman, penetapan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 tidak akan menjejaskan pemilikan, jagaan dan pentadbiran tapak.

“Pewartaan tidak akan mengambil sebarang pemilikan tanah bahkan ia kekal di bawah pemilik rasmi sebagaimana tercatat di dalam Carian Rasmi,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru agar semua pihak sama ada pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pemilik, pemaju, badan bukan kerajaan dan pemain industri warisan berkaitan agar dapat berganding bahu untuk memulihara, memelihara dan melindungi warisan negara baik yang telah diwartakan mahupun belum diwartakan.

“Kekayaan warisan dan kebudayaan negara ini akan menjadi bukti sejarah ketamadunan negara, daya tarikan para pelancong domestik dan luar negara sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat, negeri dan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here