Nurul Huda Abhar
APABILA tiba Ramadan, sudah semestinya semua umat Islam wajib menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah bagi menyempurnakan rukun Islam keempat itu.
Ibadat itu bertujuan membersihkan dan menyucikan jiwa umat Islam yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.
Waktu menunaikan zakat fitrah diwajibkan apabila terbenam matahari akhir Ramadan sehingga terbit matahari satu Syawal, dan juga disunatkan sepanjang bulan Ramadan.
Tidak ketinggalan, ramai warga kota membuat pilihan untuk membayar zakat fitrah pada awal bulan Ramadan.
Menurut Zulkafli Manzanbar, 45, beliau mengambil kesempatan menunaikan bayaran zakat fitrah minggu kedua Ramadan kerana tidak mahu bersesak-sesak ketika saat akhir.
“Saya bayar zakat awal kerana tidak mahu tergopoh-gopoh nanti semasa akhir Ramadan. Lagipun bila dan tunaikan yang wajib, hati pun rasa tenang.
“Tahun ni sama juga seperti sebelum ini… untuk empat orang. Bayar untuk saya, isteri, anak dan emak,” katanya ketika ditemui Malaysiapost di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara.

Pendapat sama disuarakan Badrul Mohd Noor, 34, dari Ampang yang memilih untuk membayar zakat fitrah pada awal Ramadan kerana bimbang kesuntukan masa ekoran kesibukan kerja.
Badrul berkata, persiapan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri tahun ini diselesaikan lebih awal bagi memudahkan urusan keluarganya.
Malah, ketika ditemui beliau dan isterinya baru selesai membeli persiapan Aidilfitri buat anak-anak di sebuah pasar raya terkenal berdekatan Jalan TAR.
“Saya sibuk bekerja bimbang jika tangguhkan. Jadi bila hari cuti saya nak selesaikan semua… boleh kita teruskan dengan ibadat-ibadat lain.
“Macam hari ini, saya dan isteri beli sedikit persiapan Hari Raya. Selesai membeli saya nampak pondok amil maka terus bayar zakat, Alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, Bukhri Anang, amil yang mengendalikan kutipan zakat fitrah di kawasan Jalan TAR memberitahu kebanyakan umat Islam membuat bayaran pada waktu petang.
Selain itu, beliau berkata jumlah individu datang membayar zakat akan bertambah semasa cuti hujung minggu.
Menurut Bukhri, beliau berada di lokasi kutipan zakat dari jam 10 pagi sehingga 6 petang dan memberitahu ada warga kota yang membuat bayaran seawal Ramadan pertama.
“Orang ramai bayar sebelah petang semasa balik kerja. Hujung minggu memang ramai lebih 400 orang bahagian saya seorang. Lebih cepat sekarang kita ikut prosedur operasi standard (SOP) tiada sentuhan dan bersalam,” kata beliau. – Malaysiapost

