SUHAKAM bimbang isu pajakan tanah Convent Bukit Nanas

0
2

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan berhubung isu untuk tidak melanjutkan pajakan tanah Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (CBN) dan berkemungkinan untuk dipindahkan.

SUHAKAM menerusi kenyataan berkata pihaknya berpandangan bahawa operasi sekolah tersebut perlu dikekalkan sebagai status quo dan pajakan tanah sekolah itu perlu diperbaharui.

Sebagai salah sebuah sekolah yang berprestasi tinggi, katanya CBN perlu dibenarkan untuk meneruskan khidmat pendidikannya sebagaimana dipraktikkannya selama lebih satu abad.

“Hak kepada pendidikan datang dalam pelbagai bentuk bukan hanya kepada pelajar namun ia juga berkaitan dengan kelangsungan hidup dan kaedah latihan oleh warga pendidik sekolah itu.

“Selagi mana ia mematuhi keperluan pendidikan dan undang-undang, tiada institusi boleh ditentukan bagaimana ia harus menjalankan operasi mereka.

“SUHAKAM menggesa pihak berkuasa, termasuk Jabatan Warisan Negara untuk memelihara CBN dan terus melindungi keistimewaan dan warisannya sebagai institusi pendidikan bersejarah yang ikonik dan berperanan dalam mendidik rakyat Malaysia selama 122 tahun,” katanya.

Selasa lalu, kerajaan diminta mengambil tindakan segera memperbaharui pegangan pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nanas yang ditubuhkan sejak 1899.

Pakar perancangan bandar, Derek Fernandez berkata, sekolah bersejarah di Kuala Lumpur itu telah melahirkan ramai tokoh terkenal dan memberi pendidikan kepada puluhan ribu wanita.

Menurutnya, sekolah tersebut layak disenaraikan sebagai warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Semalam, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) memberi jaminan bahawa Sekolah Convent Bukit Nanas tidak akan dirobohkan walaupun pajakan tanah sekolah itu tamat.

Pengarah PPTGWP, Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, tanah tersebut akan diserahkan kepada kerajaan bagi membolehkan ia diwartakan sebagai sekolah bantuan kerajaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Laman Web SMK Convent Bukit Nenas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here