MV Mega Bakti diatur gerak cari kapal selam KRI Nanggala

0
2

KAPAL penyelamat kapal selam, MV Mega Bakti milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala milik Indonesia yang dilaporkan hilang di perairan Bali semalam.

Kapal penyelamat itu memulakan operasi SAR bermula jam 7 pagi tadi dan perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Prabowo Subianto.

Menurut Kementerian Pertahanan, Ismail Sabri menghubungi rakan sejawatnya itu hari ini bagi melahirkan rasa simpati kepada seluruh warga Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), TNI, Kementerian Pertahanan Republik Indonesia serta rakyat Indonesia atas kejadian yang berlaku ke atas KRI Nanggala.

“Semasa perbualan telefon itu, Ismail Sabri memaklumkan sebagai negara sahabat, Malaysia melalui TLDM telah mengatur gerak kapal penyelamat MV Mega Bakti bagi operasi SAR.

“Selain itu, pihak TLDM akan mengadakan solat hajat dan mendoakan ke atas keselamatan anak-anak kapal dan agar kapal selam itu segera ditemui,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan hari ini.

Kementerian itu memaklumkan operasi SAR membabitkan 54 kru terdiri tujuh pegawai dan anggota TLDM serta tiga pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain 44 kru MV Mega Bakti.

“Operasi ini diketuai Komander Mohd Hairul Fahmy Yob dari TLDM selaku Koordinator Pasukan Penyelamat (CRF).

“MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu dan dijangka sampai ke lokasi SAR pada 25 April ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utana untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam dan operasi kali ini adalah ynag keduanya selepas terbabit dalam pencarian pesawat MH370 di Laut Hindu pada 2014.

“Kementerian Pertahanan melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas operasi SAR ini dan ketersediaan TLDM membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.

“Selain menekankan pendekatan Diplomasi Pertahanan, operasi SAR ini juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia,” katanya.

Kapal selam KRI Nanggala dilaporkan hilang semalam pada jam 10.37 pagi di perairan Pulau Bali ketika menjalani latihan dengan membawa 53 kru dan mula gagal dihubungi pada jam 4 pagi yang sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here