KERAJAAN hari ini bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Ini termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pemberian tersebut termasuk RM250 kepada pesara kerajaan.
Menurut kenyataan itu, pembayaran bagi bantuan khas berkenaan akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021.
“Pemberian ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama semasa negara mengharungi tempoh penuh cabaran ini.
“Bantuan khas tersebut akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.
“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas itu dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi. – Malaysiapost

