PEMUDA Umno dan Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) hari ini sependapat meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk netizen yang menghina Tuanku Raja Permaisuri Agong.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya amat kecewa dengan sikap segelintir netizen yang menghina Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan pelbagai tuduhan tidak berasas dan panggilan nama memalukan.
Perbuatan seperti itu tegasnya tidak boleh dipandang enteng kerana Tuanku Raja Permaisuri Agong merupakan tonggak kepada Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana yang dipelihara dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.
“Bagaimanapun, Pemuda Umno kesal dengan sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sehingga hari ini belum ada sebarang kenyataan tegas jauh sekali tindakan drastik keras bagi mempertahankan kedaulatan Institusi Raja ini.
“Malah masuk hari keempat penghinaaan sebegini berlanjutan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mahupun Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) tidak memperlihatkan sebarang usaha mahupun tindakan pantas untuk menyekat akaun media sosial yang jelas menghina Tuanku Raja Permaisuri Agong dan Institusi Raja.
“Pemuda Umno akan membuat laporan polis agar kerajaan dan polis segera bertindak tegas terhadap usaha yang dilihat sengaja mahu membentuk persepsi negatif dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi pengimbang kepada segala kekalutan rakyat dan krisis politik dalam negara,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan derhaka sesetengah pihak yang mempamer kebiadaban melampau terhadap Raja Permaisuri Agong dan anggota kerabat Diraja.
Institusi Diraja katanya, adalah payung negara yang mana maruah dan kedaulatan raja-raja dan keutuhan institusi itu tidak sekali-kali boleh dicabar mana-mana pihak.
“Ruang kebebasan bersuara yang diberikan tidak boleh disalahguna, terutama untuk menunjukkan sikap membuli dan budi yang tidak luhur dan tidak susila.
“Armada tegas menggesa agar tindakan keras diambil ke atas pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Teladan harus ditunjukkan agar Rukun Negara yang kedua dan kelima ditegakkan sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost

