Majikan belasah 2 ‘bodyguard’ kerana berpuasa hadapi 5 pertuduhan

0
4

MAJIKAN yang membelasah dan menggugut dua pengawal peribadinya hanya kerana berpuasa, didakwa dengan lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang hari ini.

Turut didakwa adalah seorang pembantunya, yang berdepan dua pertuduhan di mahkamah sama.

Bagi pertuduhan pertama, ahli perniagaan Chung Chee Yang, 43, didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan ingin menyebabkan kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.

Memetik laporan Berita Harian, dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan bersubahat bersama pembantunya Choo Hin Voon, 43, dengan mengarahkan Hin Voon mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam menggunakan rotan.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu bagi setiap tuduhan.

Tertuduh juga didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Hin Voon pula didakwa dengan dua pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di luar halaman rumah No 2A Lorong 9L, Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, 13 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurazi Ahmad di hadapan Majistret P Sarulatha, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi dan Abdul Hakeem Aiman.

Terdahulu, Ashyraf Ashy’ari memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM200,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chee Yang dan RM100,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Hin Voon, selain kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana kedua-duanya perlu menyara keluarga selain menjaga ibu bapa yang sakit.

Sarulatha bagaimanapun mengarahkan tertuduh pertama membayar RM50,000 untuk semua lima pertuduhan manakala tertuduh kedua dikenakan ikat jamin RM20,000.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here