Polis rampas dadah RM6.5 juta di Pulau Pinang

0
2

SEORANG lelaki tempatan diberkas bersama 112 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 26.9kg bahan asas dadah heroin yang keseluruhannya dianggar bernila RM6.5 juta dalam dua serbuan di Pulau Pinang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan dalam Op Propus bermula 19 April hingga hingga pagi semalam di Permatang Pauh dan Nibong Tebal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan sindiket penyeludupan dadah itu aktif sejak Mac lalu dan dadah berkenaan diseludup dari negara jiran untuk dijual di pasaran tempatan.

“Jumlah rampasan sangat banyak membabitkan syabu dan heroin base (bahan asas heroin) yang mana daripada siasatan mendapati sasarannya adalah di Pulau Pinang dan mungkin menembusi pasaran di luar negeri ini.

“Buat masa ini maklumat yang polis ada pasarannya untuk tempatan sahaja dan ia boleh diedarkan kepada 2.36 juta penagih.

“Lima kenderaan turut dirampas iaitu dua motosikal dan tiga kereta selain barang kemas serta jam tangan keseluruhannya dianggar RM115,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu adalah antara rampasan terbesar tahun ini.

Menceritakan mengenai kejayaan itu, Razarudin berkata serbuan pertama pada 19 April lalu di Permatang Pauh dengan suspek ditahan berhampiran sebuah kereta.

Pemeriksaan lanjut menemui 19 bungkusan teh Cina mengandungi syabu serta 26.9kg heroin base dalam kenderaan terbabit.

“Susulan tangkapan itu polis menyerbu rumah sewa suspek di Nibong Tebal yang dijadikan stor simpanan dadah selebihnya.

“Suspek direman bermula 20 hingga 26 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati dadah berkenaan memang dibungkus dengan bungkusan teh Cina dari negara asal.

“Memang sampai dah bungkus macam ini dalam bungkusan teh Cina dan polis masih lagi mengesan ahli sindiket lain terutama dalang utama sindiket berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here