KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha menggalak, mempromosi dan mendorong pembangunan ekosistem seni visual negara.
Unit Komunikasi Korporat MOTAC menerusi kenyataan berkata, kerjasama yang bakal dilaksanakan itu adalah menerusi Galeri Azman Hashim UMS yang mula dibina pada 2017 dan siap sepenuhnya pada 2020.
“Tan Sri Azman Hashim, yang merupakan Pro-Canselor UMS telah menyumbang RM15 juta bagi pembinaan galeri ini.
“Antara lain, galeri ini berperanan menjadi pusat sehenti bagi aktiviti pameran, program, simposium dan konferensi mengenai seni visual.
“Malah perkongsian mengenai penyelidikan seni, koleksi dan aktiviti konservasi karya seni dapat diadakan bagi perkembangan seni dan budaya,” katanya.
Majlis menandatangani itu turut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri di Kota Kinabalu hari ini.
Sementara itu, Nancy berharap melalui Galeri Azman Hashim UMS, aktiviti kesenian di Sabah dapat disubur dan dirancak kembali dalam usaha mendukung industri pelancongan selain menjadi tarikan terbaharu kepada peminat seni tempatan.
“Dengan termeterainya MoU ini, kerjasama antara dua organisasi dapat dilaksanakan melalui perkongsian data serta maklumat secara lebih strategik dan lestari mengenai kesenian dan budaya negara.
“Dengan kepakaran dan kemahiran yang terdapat di LPSVN, data serta maklumat berkenaan seni visual akan dikongsi dan ditambah nilai melalui Galeri Azman Hashim UMS,” katanya.
Dalam majlis sama, Balai Seni Negara turut merasmikan inisiatif terbaharu melalui program Jejak Seni Malaysia dalam memetakan ekosistem seni di seluruh negeri di Malaysia.
Antara yang tersenarai termasuklah Galeri Azman Hashim UMS dan Balai Seni Lukis Sabah yang mampu menjadi tarikan pelancongan seni selain daripada 59 lokasi secara keseluruhan bagi Sabah yang meliputi karya awam, lorong seni, galeri, studio dan residensi.
Melalui itu, kesinambungan seni serta budaya dapat menyokong mempromosi serta meningkatkan ekonomi dan ekosistem seni negara.
Nancy turut menjelaskan, kerjasama itu antara langkah pelan pemulihan sektor pelancongan seni serta ekonomi, sekali gus bakal memberi impak positif kepada industri seni visual negara.
“Ia juga diharapkan dapat memacu pertumbuhan industri khususnya pelancongan domestik di Sabah,” katanya. – Malaysiapost

